10 Prinsip Islam Hadhari dan Pengukuhan Hubungan Etnik
1. Keimanan dan Ketaqwaan kepada Ilahi dan Hubungan Etnik
Hubungan etnik yang utuh lagi jitu akan dapat dibina sekiranya ia dijalin berteraskan ajaran agama bersekali dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.. Islam sebagai Al-Din telah secara holistik mengintegrasikan hubungan kemanusiaan dan kemasyarakatan (termasuk komuniti dan hubungan etnik) dengan hubungan manusia-Allah, manusia-makhluk dan hubungan manusia-alam. Justeru, hubungan kemanusiaan dan sosial sudah terkandung dalam ajaran Islam yang mementingkan perpaduan, perdamaian, keharmonian dan keamanan tanpa mengira bangsa, ras, kaum dan etnik. Kesejahteraan hidup hanya akan dapat direalisasikan sekiranya manusia dan masyarakat berpandukan ajaran Allah s.w.t..
2. Kerajaan Adil dan Beramanah serta Hubungan Etnik
Dasar keadilan dan amanah kerajaan juga telah lama dilaksanakan dalam konteks memantap dan memperkukuhkan hubungan etnik. Kerajaan Malaysia dalam ruang yang ada sejak daripada selepas Peristiwa 13 Mei 1969 berusaha membentuk perpaduan dan keutuhan masyarakat berbilang kaum yang mempunyai identiti nasional dan tidak menghalang hak-hak bukan Islam dalam menjalani semua aktiviti kehidupan. Kepelbagaian budaya dan agama diterima sebagai satu entiti kekuatan bukannya melemahkan. Kerajaan juga sentiasa berwaspada dan berusaha mengelakkan ketegangan dan pergaduhan etnik walau apapun puncanya. Respons kerajaan kepada tuntutan etnik minoriti sentiasa adil dan saksama, maka kerana itulah ketegangan dan perbalahan antara etnik dapat diatasi dengan bijak dan saksama.
3. Rakyat Berjiwa Merdeka dan Hubungan Etnik
Kerajaan sedang berusaha untuk membentuk bangsa Malaysia menerusi berbagai usaha termasuklah pengukuhan konsep perpaduan nasional agar terhasil rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka iaitu yang menyumbang dan berbakti kepada negara serta menumpahkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara di samping bersatu padu, saling menghormati, tolong menolong dan berkongsi masa depan. Kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan ’Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian’ dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang kuat. Islam mewajibkan manusia Muslim sentiasa tolong menolong atas dasar kebaikan dan ketaqwaaan dan bukannya atas dasar perlakuan dosa, pencerobohan atau perseteruan.
4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan dan Hubungan Etnik
Kerajaan sentiasa menganjurkan rakyatnya agar sentiasa menguasai ilmu pengetahuan. Islam mewajibkan umatnya untuk mencari dan menuntut ilmu pengetahuan. Dalam konteks Malaysia, jalinan hubungan etnik akan menjadi lebih padu sekiranya masing-masing melihat signifikan hubungan etnik dalam konteks ilmu dan realiti, bukannya emosi, perasaan dan prasangka.
Tamadun India yang masyhur dengan falsafah dan matematik, tamadun Cina dengan ilmu hisab, perpuluhan dan aritmatik dan tamadun Islam yang menampilkan konsep angka dan meletakkan asas dalam matematik moden dan bidang astronomi cerapan telah bersama-sama menjayakan interaksi tamadun hasil daripada penguasaan ilmu pengetahuan. Maka kelompok etnik Cina, India dan Melayu dan lain-lain sepatutnya tidak mempunyai masalah memperkukuh hubungan etnik di Malaysia hasil daripada interaksi sains dan teknologi dan interaksi budaya tamadun masing-masing terdahulu. Penguasaan ilmu pengetahuan adalah faktor pembentukan dan kesinambungan kejayaan ketiga-tiga tamadun di atas. Ungkapan Arab, ”Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China” membuktikan dua aspek; pertama interaksi dan dialog tamadun, kedua; transmisi ilmu dan pengejaran ilmu pengetahuan.
5. Pembangunan ekonomi yang komprehensif dan seimbang dan Hubungan Etnik
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat harus dilihat juga signifikannya dari sudut hubungan etnik. Pencapaian DEB yang diharapkan iaitu 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam semua bidang dan peringkat ekonomi akan memobilasikan Bumiputera untuk bergerak maju dan berdaya saing seiring dengan bukan Bumiputera. Status sosial dan pendapatan Bumiputera diharapkan akan setara dengan bukan Bumiputera. Objektif penyusunan semula masyarakat yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik akan dapat direalisasikan. Sebab itu, DEB harus dilihat signifikannya daripada sudut hubungan etnik.
6. Kehidupan Berkualiti dan Hubungan Etnik
Hubungan etnik yang baik akan menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti. Berdasarkan kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia, kita dapati hubungan etnik boleh dikaitkan dengan banyak perkara dalam kehidupan kita. Indeks Kualiti Hidup Malaysia merangkumi 11 aspek iaitu:
1. Dunia pekerjaan
2. Pengangkutan dan komunikasi
3. Kehidupan berkeluarga
4. Keselamatan dan ketenteraman awam
5. Pendapatan dan pengagihannya
6. Kesihatan
7. Pendidikan
8. Perumahan
9. Alam sekitar
10. Penglibatan sosial
11. Budaya dan hiburan
Sukan ternyata boleh mewujudkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia sekaligus mempereratkan hubungan kaum dan integrasi nasional. Sudah ada langkah-langkah menggunakan sukan sebagai alat untuk memupuk hubungan kaum yang erat. Orang Cina sudah ada yang bermain sepaktakraw yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu. Orang Melayu sudah bermain bola keranjang walaupun sebelum ini sukan ini didominasi oleh orang Cina. Kita perlu sukan yang boleh menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Badminton, hoki, bola sepak dan squash adalah di antara sukan yang boleh membangkitkan perasaan patriotisme rakyat.
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
Islam telah lebih 1400 tahun yang lampau memperjuangkan konsep hubungan etnik dan hak-hak asasi manusia. Islam menjamin hak-hak bukan Islam dan warga dunia. Jaminan ini akan memperkukuhkan hubungan etnik di negara yang diperintah oleh orang Islam. Pengisytiharan Universal Islam Mengenai Hak-hak Asasi Manusia di Paris pada September 1981 antara lain mengiktiraf hak-hak manusia untuk hidup, hak kebebasan manusia, hak persamaan dan larangan diskriminasi terlarang, hak keadilan, hak perbicaraan yang saksama, hak mendapat perlindungan daripada penyalahgunaan kuasa, hak perlindungan daripada penyiksaan, hak perlindungan maruah dan reputasi, hak pelarian, hak-hak minoriti, hak dan obligasi untuk menyertai pengurusan hal ehwal awam, hak untuk menganut mana-mana agama dan berucap, hak amalan keagamaan, hak untuk berkumpul dan menubuhkan persatuan, hak melakukan aktiviti ekonomi, hak perlindungan hartabenda, status dan maruah pekerja, hak keselamatan sosial, hak berkeluarga dan yang berkaitan dengannya, hak wanita yang telah berkahwin, hak pendidikan, hak privasi dan hak bergerak dan menginap.
8. Keutuhan Budaya dan Moral Serta Hubungan Etnik
Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersama-sama memerangi elemen negatif budaya dan pemikiran Barat yang bertentangan dengan nilai agama dan ketimuran. Budaya dan moral bangsa Malaysia mestilah dipertahankan demi keutuhan budaya kebangsaan dan menghalang ianya daripada dicemari oleh budaya yang merosakkan akhlak dan moral serta budi bahasa rakyat Malaysia. Perayaan-perayaan kaum di Malaysia boleh menjadi satu mekanisme memupuk semangat muhibah di kalangan masyarakat berbilang kaum. Bagi orang Islam, amalan kunjung mengunjung ke rumah kaum lain ketika perayaan tertentu bukanlah bermakna merestui sistem kepercayaan agama lain, tetapi lebih sebagai satu amalan mengeratkan perasaan saling menghormati, persefahaman dan persahabatan dengan kawan-kawan lain walaupun yang bukan seagama dengan mereka. Ini patut dijadikan budaya hidup kita.
9. Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Serta Hubungan Etnik
Rakyat Malaysia pelbagai kaum mestilah sama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar demi kepentingan bersama dan untuk generasi akan datang. Alam sekitar dan persekitaran yang kondusif bersekali denan penjagaan kesihatan yang sempurna akan memastikan masyarakat yang sihat, kuat dan sejahtera. Rakyat Malaysia mestilah memperjuangkan isu-isu alam sekitar mengikut saluran yang betul dan peraturan dan benar-benar ikhlas demi kepentingan negara, bukannya kepentingan peribadi atau kelompok berkepentingan tersendiri.
10. Kekuatan Pertahanan dan Hubungan Etnik
Program Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) sudah menunjukkan tanda-tanda penumpuan dan perkembangan integrasi nasional, perpaduan kaum dan semangat patriotisme. Generasi muda perlu disedarkan tentang keperluan mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh. Mungkin sudah ada usaha sedemikian di peringkat pendidikan rendah yang lebih bersifat kekuatan jatidiri.
Penyertaan kelompok etnik bukan Melayu dalam pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia masih ditahap yang rendah dan perlu dipertingkatkan. Penyertaan berbagai kelompok etnik dalam Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan pasukan Pertahanan Awam boleh dibanggakan. Ini juga boleh memantapkan perpaduan kaum. ”Bersatu tkita teguh, bercerai kita roboh” adalah pepatah yang melambangkan perpaduan dan kerjasama. Jika dikaitkan dengan kekuatan pertahanan, maka asas kepada perfahaman yang utuh ialah perpaduan yang jitu.
Iklan TV3 ”Ikan di laut, asam di darat” membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum boleh menjalin hubungan baik dan bersatu padu. Media massa adalah mekanisme paling berkesan untuk memupuk perasaan muhibah dan hubungan etnik yang positif. Sebab itu media massa perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk memupuk integrasi nasional dan perpaduan kaum bukannya perpecahan dan polarisasi.
No comments:
Post a Comment