Saturday, December 4, 2010

Politik Darurat Di Kelantan

Sejarah kerjasama UMNO-PAS yang dinamakan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan menurut istilah Datuk Mohd Asri ini, adalah suatu perubahan dalam taktik dan teknik perjuangan PAS di bawah kepimpinannya. Pergolakan serta kemelut dengan kewujudan kem atau puak mulai menetasdan membesar sekitar pertengahan tahun 1970-an.

Kumpulan pertama ialah penyokong Datuk Haji Mohd Asri sendiri dan kumpulan kedua ialah pengikut setia yang menyokong Datuk Haji Muhammad bin Nasir yang menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan waktu itu. Kumpulan Datuk Muhammad Nasir telah mengadakan demontrasi protes pada 24 September
1977 di Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan. Mereka membantah kumpulan pro Asri yang dikenal dengan ‘Kumpulan 16’ dan akhirnya ‘Kumpulan 20’. Dikatakan lebih 80,000 rakyat Kelantan di seluruh pelosok tanah air menyertainya. Sebahagian besarnya datang daripada rakyat Kelantan sendiri.

Datuk Haji Muhammad Nasir pula digulingkan dari jawatan MB melalui usul undi tidak percaya. Usul tersebut dibuat oleh 20 orang ADUN Kelantan dari PAS yang diketuai oleh Datuk Haji Ishak Lutfi Omar. Namun kumpulan ini tidak mendapat sokongan daripada ADUN UMNO dan MCA. Ekoran dari peristiwa tersebut, pada 19 Oktober 1977 satu lagi demontrasi telah ditimbulkan oleh kira-kira 20,000 rakyat Kelantan berarak dari Padang Merdeka ke Pejabat Setiausaha Negeri. Perintah berkurung pun diisytiharkan oleh pihak keselamatan pada jam 3.15 petang dan berterusan selam 24 jam berikutnya.


              Pihak Kerajaan Pusat tidak mahu berkerjasama dan membelakangkan pendapat majoriti ADUN Kelantan kerana segala rundingan yang dibuat dengan MB tidak mendapat sokongan majoriti ADUN. Bermulalah ‘Politik Darurat’ untuk merampas Kelantan. Formula mewujudkan Akta Darurat dan kerajaan MAGERAN di Kelantan tanpa rundingan dan rujukan apa-apa dengan PAS
sebagai rakan dalam Barisan Nasional menampakkan sesuatu yang ganjil dan pelik. Pihak PAS hanya diberitahu untuk dipersetujui sahaja. Pemimpin PAS dalam kabinet Kerajaan Pusat pula terpaksa meletakkan jawatan masing-masing kecuali Haji Hasan Adli yang membantahnya. Para pemimpin PAS yang lain setuju dengan sikap yang diambil oleh Datuk Haji Mohd Asri terutama Kumpulan 20 ADUN PAS Kelantan.


            Mereka terpaksa berbuat demikian kerana dikatakan telah melanggar disiplin BN ekoran dari bantahan Datuk Asri terhadap Akta Darurat. Akta tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn di Dewan Rakyat Kuala Lumpur pada 19 Oktober 1977, yang pada masa itu masih lagi dalam bentuk rang undang-undang Kuasa Darurat Kelantan. Sistem pemerintahan demokrasi digantung dan ditadbir secara ’de facto’ oleh Kerajaan Pusat apabila MAGERAN diisytiharkan pada 8 November 1977. Pengarahnya diketuai oleh Tan Sri Hashim Aman. Kerajaan MAGERAN ini berjalan selama 95 hari sebelum pilihanraya demokrasi dijalankan pada 11 Mac 1978.


            Pada 13 Disember 1977 PAS disingkir dari BN kerana enggan mematuhi whip BN mengenai undang-undang Darurat. Pada 12 Januari 1978, pemerintahan MAGERAN ditarik balik oleh Kerajaan Pusat dan pada 11 Mac 1978 Kerajaan Pusat terus mengisytiharkan Pilihan Raya Umum/ Pilihanraya Khas Kelantan pada peringkat negeri sahaja. Ternyata BN menangguk di air keruh dan PAS dikalahkan dengan teruknya oleh BN. Dari 43 kerusi DUN seluruh negara tahun 1974 jatuh tinggal 11 sahaja pada tahun tersebut. Kerusi PRU parlimen perolehan PAS lepas itu juga berkurang dari 14 tahun 1974 kepada 5 sahaja pada tahun 1978. Keputusan pilihanraya ini amat memerikan PAS kerana ianya menyebabkan PAS Kelantan hilang kuasa pemerintahan serta kuasa politik dalam kalangan rakyat telah merosot.

         Ramai sarjana berpendapat bahawa dengan kesediaan PAS masuk dalam Barisan Nasional merupakan faktor kekalahan PAS dalam PRU 1978, menggambarkan kejatuhan kekuasaan dan pengaruh PAS di Malaysia. Ada yang berpendapat kejatuhan PAS adalah kerana pimpinan dan tenaga kerja PAS lebih banyak tertumpu kapada sumbangan dalam jentera kerajaan serta akibat kemelut sesama pemimpin PAS  dari tumpuan untuk menggerakkan parti sendiri. Hal ini menyebabkan ahli-ahli PAS terabai dan kurang mendapat pengisian sewajarnya dari segi kerohanian dan kesedaran politik. Halatuju PAS pada masa itu sedikit longgar.


      Mantan Setiausaha Agung PAS Pusat pada tahun 1978 yang telah menyertai UMNO iaitu Ustaz Nakhaie bin Ahmad mengatakan, kekalahan PAS adalah kerana kurang perhatian pemimpin PAS dalam menggunakan ruang dan peluang semasa berada dalam BN. Beliau menyifatkan penyertaan PAS tidak digunakan sepenuhnya untuk membantu parti, bahkan masing-masing berebut jawatan dan kepentingan. Penyingkiran PAS dari BN juga mempunyai saham dalam menjatuhkan PAS kerana kesempatan yang diambil oleh BN tidak dapat dihidu sedari awal lagi oleh pemimpin PAS..


             Peristiwa yang memaksa beberapa tokoh PAS tidak aktif lagi kerana larangan ahli-ahli akademik terlibat dalam politik. Mereka adalah seperti Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Dr Harun Din, Uthman Khalid dan lain-lain. Oleh itu kekosongan yang wujud dalam jawatan tertentu sudah tentu mengganggu pentadbiran dan perjalanan parti. Ini ditambah lagi apabila imej Yang DiPertua Agung PAS Datuk Haji Mohd Asri bin Haji Muda telah dianggap kurang baik dan gerhana hasil dari penentangan beliau terhadap perlantikan Datuk Haji Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar atas sokongan Tun Haji Abdul Razak Hussein.


           Walaupun sebenarnya perlantikan Datuk Haji Muhammad bin Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan tersebut didalangi oleh BN, namun MB itu tetap dianggap jujur dan ikhlas terhadap rakyat. Apabila Datuk Asri menentang Akta Darurat dan terpaksa meletak jawatan, tiba-tiba Hasan Adli enggan letak jawatan, sedangkan beliau juga adalah tokoh berpengaruh yang menjadi Menteri Kerajaan Pusat sesudah Datuk Asri. Keadaan ini juga mendorongkan perbezaan pendapat yang membawa kepada sikap berpuak-puak di kalangan ahli. Satu kumpulan menyokong Datuk Haji Mohd Asri dan satu kumpulan lagi yang menyokong Datuk Haji Muhammad bin Nasir.


        Ada juga yang berpendapat bahawa soal mementingkan kedudukan adalah punca perpecahan dan yang menyebabkan kejatuhan PAS. Datuk Asri merasa adalah hak bagi beliau dan partinya mencadangkan Wan Ismail Wan Ibrahim sebagai MB Kelantan. Beliau enggan menerima Datuk Muhammad Nasir tajaan BN yang menyebabkan mereka tidak sehaluan dan berlaku perpecahan dalam PAS. Datuk Muhammad Nasir keluar menubuhkan parti barunya iaitu Barisan Jemaah Islamiyah SeMalaysia(BERJASA)  ‘Kelicikan politik BN’ ini menyebabkan BERJASA bertanding atas tiket BN  bagi menentang PAS dalam pilihan raya khas Kelantan pada 11 Mac 1978.


         Namun dalam sisi yang lain pula, masalah percubaan ini bukan sahaja bermula kerana kemasukan PAS dalam komponen BN, bahkan kerana perpecahan dalaman PAS itu sendiri yang lebih tertumpu kepada perbezaan fikrah perjuangan. Kemasukan ahli-ahli ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), atau ahli-ahli IRC (Islamic Representative Council) yang berpusat di luar negara telah menerapkan pemikiran dan fahaman mereka telah menambah lagi perbezaan fikrah tersebut. Suasana demikian berlaku sekitar tahun 1977 dan 1978, yang mendorongkan lagi perbezaan t dalam tindakan dan susun-atur dalam perjuangan parti.


           Kesannya menyebabkan tiada kesepaduan hati dan tindakan yang mewujudkan puak-puak tertentu dalam PAS. Ini menambahkan lagi faktor yang menjadi kepada punca perpecahan dan pergeseran. Selain dari faktor Kerajaan Campuran, Tengku Razaleith Hamzah juga dikatakan berperanan menjatuhkan PAS. Beliau merupakan seorang tokoh UMNO Kelantan yang berpengaruh, apatah lagi beliau adalah berketurunan anak raja. Pengaruhnya yang kuat dan bersungguh-sungguh dalam menjadikan UMNO Kelantan sebagai tapak untuk mengembangkan karier politiknya di samping mempunyai beberapa kelebihan dan kemudahan di negeri tersebut terutama hubungannya dengan pihak istana.


           Menurut Tengku Razaleigh waktu itu, sepanjang tempoh menerajui Kelantan sejak 1959, PAS kurang memberi perhatian kepada rakyat, bahkan berselindung dengan Islam dan propaganda politiknya hingga mengkhayalkan ramai orang. Justeru, atas kesedaran bahawa rakyat Kelantan mempunyai mentaliti yang tinggi dan berpotensi untuk maju terutama sebagai anak Kelantan, beliau ingin melihat rakyat dan warga Kelantan menguasai bidang-bidang pekerjaan mengikut kebolehan dan bukan kerana lain-lain sebab. Beliau tidak mahu rakyat Kelantan terus diperalatkan oleh sesetengah golongan yang berkepentingan di negeri itu.


           Beliau mengatakan PAS memperalatkan Islam kerana sepanjang 19 tahun, tidak ada satupun akta dari undang-undang yang dipinda untuk menghala kepada penghayatan Islam. Timbalan Setiausaha DAP, Encik P.Patto pula menegaskan, punca kejatuhan kerajaan PAS Kelantan ialah kerana permainan politik yang berat sebelah dari pemerintah. Semasa darurat dan MAGERAN rapat umum tidak dibenarkan, tetapi melalui usaha beberapa tokoh politik UMNO telah menghangatkan suasana keruh di Kelantan.


           Rapat umum sudah tidak kira permit lagi. Jentera Kerajaan Pusat telah digunakan sebagai jentera parti, membantu demontrasi anti-Asri dalam bulan September hingga Oktober 1977, di Kota Bharu dan bandar-bandar lain seperti Pasir Mas. Dikatakan juga ada antara anggota polis memainkan peranan yang sama tanpa memikirkan tugas sebenar mereka sebagai pegawai keamanan rakyat. Pada P.Patto, rakyat tidak menolak kerajaan PAS tetapi kejatuhan PAS disebabkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak kerajaan.


            Beberapa kalangan pimpinan PAS sependapat mengatakan sebab utama kejatuhan PAS Kelantan adalah kerana tindakan tidak demokratik dan sistem politik kuno pemerintah dalam pilihan raya tersebut, yang secara mengejut tanpa memberi ruang waktu serta kebebasan berkempen, iaitu lebih kurang 3 bulan sebelum MAGERAN diisytiharkan. Sedangkan semua media masa dijadikan alat sebaran BN yang mempengarui kepercayaan dan sokongan pengundi.


             PAS tidak mempunyai alat sebaran yang cukup untuk menerangkan kepada rakyat Kelantan tentang peristiwa MAGERAN, politik darurat, isu balak, rasuah, tanah dan krisis Asri-Nasir, sedangkan rakyat disumbat dengan kekeliruan tersebut melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya. Ini bermakna PAS bukan sahaja berlawan dengan parti-parti yang menentang seperti UMNO, Berjasa, Barisan Bebas Bersatu dan lain-lain, tetapi juga berhadapan dengan seluruh jentera parti kerajaan BN(MCA dan MIC) atau Kerajaan Malaysia.


             MeMAGERANkan Kelantan sebenarnya merupakan satu senjata politik untuk membolehkan UMNO menang di Kelantan setelah kekalahannya di tangan PAS pada tahun 1959 dahulu gagal ditebus sehingga tahun 1969. Dalam suasana darurat, PAS sudah pasti tidak dapat menangkis tuduhan-tuduhan liar. Dengan itu fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan PAS menambahkan kekeliruan rakyat, sedangkan PAS tersekat dari membela diri kerana kekurangan media bagi menangkis hujah untuk mematahkan pihak lawan.. Datuk Muhammad Nasir sendiri jelas menampakkan kecenderungan dan sikap ke arah BN sejak tahun 1975 lagi. Katanya, beliau ‘bukan MB PAS tetapi MB BN’ sewaktu ditemuramah oleh wartawan Bernama dan media arus perdana pada masa itu. PAS seolah-oleh terikat kaki dan tangan.


        Dalam satu ucapan di Pasir Mas pada 13 Mei 1977, Muhammad Nasir mendakwa beliaulah satu-satunya MB Kelantan yang menyelamatkan Kelantan dari kerosakan yang telah ditimbulkan oleh kerajaan lalu(sebelum Kerajaan Campuran), maksudnya kerajaan yang diperintahkan oleh PAS sejak tahun 1959 lagi. Melalui akhbar-akhbar tempatan seperti Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Watan dan lain-lain pula pada 14 September 1977, beliau menuduh usaha untuk menggulingkan beliau didalangi oleh tokoh-tokoh tertentu di Kuala Lumpur untuk menutup apa yang dikatakan sebagai kecurangan berkaitan 2 masalah, iaitu:


1..Masalah Syarikat Timber Mine.

2..Masalah membalak di kawasan sempadan Kelantan-Perak seluas 250,000 ekar tahun 1972, antara Kerajaan Negeri melalui SEDC dengan Syarikat Ong Kian Seng.


Datuk Mohd Asri pula dalam ucapan di Mesyuarat Agung PAS ke 24, beliau menjelaskan, “Perbelanjaan bulanan Pejabat Agung adalah $3,000, sementara perolehan pendapatan melalui pendermaan daripada legislator adalah hanya $1,950 sebulan.”

Ustaz Nakhaie menjelaskan, sepanjang penglibatannya dalam PAS sekitar tahun70an hingga 80an, beliau menyenaraikan empat bentuk kelemahan dalam PAS:


1.Kelemahan pengurusan dan pentadbiran parti, terutamanya dalam pengurusan kewangan dan keahlian yang licin.


2.Budaya ilmu dalam PAS yang belum mantap, yang mana perjuangan Islam yang ditegakkan tidak begitu dinilai dari sudut keupayaan memahami Islam, tetapi lebih kepada semangat dan sentimen sahaja.


3..Kemantapan ideologi dan Islam belum mantap pada tahun 1978. Walaupun matlamatnya Islam, tetapi cara untuk mencapainya tidak jelas bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam masyarakat secara menyeluruh.


4.Kurang pentarbiyahan kepada ahli-ahli di mana pengurusan pentarbiahan dan sumber kewangan menghadapi masalah dan jumlahnya amat terhad.

Namun apa yang pasti kini, sebarang idea Kerajaan Perpaduan yang dicanangkan oleh pihak tertentu telah meletakkan PAS dalam keadaan berhati-hati. Ini dilakukan agar PAS tidak lagi terkena sebanyak dua kali. Kesilapan pertama kali mungkin boleh dimaafkan, tetapi kesilapan dua kali mungkin PAS akan hilang maruah pada mata rakyat. Tersilap langkah, PAS mungkin akan ditolak secara total oleh rakyat. Malah kredibilitinya sebagai parti tertua di Malaysia akan jatuh, seterusnya maruahnya akan tercalar.

Doa Harian


DOA HARIAN/PERHIMPUNAN MINGGUAN


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

ALHAMDULILLAHIRRABBILALAMIN WASSOLATUWASOLAT SAYYIDINA MUHAMMADIN WALMURSALIN WAA’LA ALIHIWASOHBBIHI AJMAI’N.
MARILAH KITA SAMA-SAMA MEMANJATKAN KESYUKURAN KEPADA ALLAH SUBHANAHUWATAA’LA KERANA DAPATLAH KITA BERHIMPUN DAN MASIH DIBERI KESEMPATAN OLEHNYA UNTUK SAMA-SAMA KITA MELAKSANAKAN TUGAS DAN AMANAH KITA UNTUK AGAMA, BANGSA DAN TANAHAIR YANG TERCINTA INI.
SALAWAT DAN SALAM KEPADA NABI KITA MUHAMMAD SALALLAHU A’LAIHIWASSALAM, KEPADA KAUM KELUARGANYA, PARA SAHABATNYA, PARA TABII’N DAN TABII’N-TABII’N, PARA SALAFUSSOLEH, PARA ALIM ULAMAK, PARA GURU DAN PENDIDIK YANG MERUPAKAN PEWARIS NABI DAN KEPADA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SAMADA YANG TELAH TIADA DI ALAM FANA INI DAN YANG MASIH HIDUP.

YA ALLAH YARABBI
KAMI MEMOHON KEAMPUNAN SEGALA DOSA KAMI, DOSA KEDUA IBU BAPA KAMI, DOSA GURU-GURU KAMI DAN DOSA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SAMADA YANG MASIH HIDUP MAHUPUN YANG TELAH MENINGGAL DUNIA.

YA ALLAH YA RABBI TUHAN SEKELIAN ALAM INI.
KAMI MEMOHON LIMPAH KURNIAMU KEPADA KAMI AGAR KAMI SENTIASA CENDERUNG KEPADA AGAMA KAMI. JADIKANLAH KAMI ORANG-ORANG YANG SENTIASA BERSYUKUR DI ATAS NIKMAT YANG ENGKAU KURNIAKAN. KAMI JUGA MEMOHON AGAR DIPERLUASKAN REZEKI KEPADA KAMI YAKNI REZEKI YANG HALAL LAGI BAIK DAN JANGANLAH ENGKAU BERIKAN REZEKI YANG HARAM LAGI MEMUSNAHKAN KAMI.
LIMPAHKANLAH RAHMAT DAN KASIH SAYANGMU KEPADA KAMI, TAMBAH DAN TINGKATKAN KEIMANAN KAMI KEPADAMU YA ALLAH YAHUYAKAYYUM.
KURNIAI KAMI ZURIAT YANG BERIMAN DAN SOLEH SERTA TIDAK MENDERHAKA KEPADA AGAMAMU DAN RASULMU. PANDULAH KAMI DENGAN  PETUNJUK AL-QURAN DAN NABIMU. JADIKANLAH KAMI ANTARA ORANG-ORANG YANG MENGHUNI SYURGAMU DAN JAUHKANLAH KAMI DARI ORANG YANG MENJADI PENGHUNI NERAKAMU YANG PENUH AZAB DAN SIKSA.

YA ALLAH YA TUHAN KAMI SERU SEKELIAN ALAM
SELAMAT DAN SEJAHTERALAH PARA PEMIMPIN KAMI, AGAMA KAMI, NEGARA KAMI, BANGSA KAMI DALAM KESATUAN YANG DIREDHAIMU BUKANNYA KESATUAN DALAM KEHINAAN. TUNJUKILAH KAMI JALAN BENAR DAN BUKAN JALAN YANG SESAT LAGI MENYESATKAN.

WAHAI TUHAN KAMI
PANJANGKANLAH UMUR KAMI, KAMI MEMOHON KESIHATAN YANG BAIK TAKWA DAN DIPANJANGKAN UMUR DALAM MEMBUAT AMAL YANG BAIK, TINGGIKANLAH AKHLAK KAMI DENGAN AKHLAK RASULMU.BERKATKANLAH APA-APA  YANG DIREZEKIKAN KEPADA KAMI, PERBAIKKAN KESUDAHAN KERJA-KERJA KAMI SEMUANYA.
WAHAI TUHAN KAMI, SUDAHKANLAH BAGI KAMI SEBAIK-BAIK KESUDAHAN DAN JANGANLAH SUDAHKAN KAMI DENGAN KESUDAHAN YANG JAHAT LAGI DIMURKAIMU.

RABBANA MIN AZWA JINA WA ZURRIATINA QURATAA’YUNI LILLAHIRABBIL A’LAMIN.
RABBANA ATINA FI DDUNIA WAFIL AKHIRATIHASANATAN WAKINA AZABBANNAR
WASALLAHUA ALA ALIHI WASOBIHI AJMAIN, SUBHA NARABBIKA RABBI IZZATI AMMA YASIFUN WASALAMUN A’LALMURSALIN WAL HAMDULILLAHIRRABIL A’LAMIN.
AMIN YA RABBAL A’LAMIN.

Asal-Usul Pulau Pinang

Asal Usul Pulau Pinang


Dalam ceramah anjuran SEFSI, USM semalam, Prof Ahmad Murad Merican menjelaskan bahawa sebenarnya Pulau Pinang bukanlah dibuka oleh Francis Light. Orang yang bertanggungjawab membuka Pulau Pinang atau nama asalnya Tanjung Penaga ialah Tok Jenaton yang berasal dari Pagar Ruyong Sumatera. Rupanya fakta sejarah yang kita pelajari selama ini tentang  sejarah Pulau Pinang adalah menyeleweng dari fakta sebenar. Mungkin ada niat tertentu oleh pihak berkaitan supaya sejarah sebenar tidak diketahui oleh generasi akan datang.
Tok Jenaton pernah datang mengadap Sultan Kedah bersama dengan para pengikutnya yang terdiri dari kalangan orang Batak dengan membawa bersamanya hadiah naskah al-Quran tulisan tangan. Lantaran itu, Sultan Kedah berkenan menganugerahkannya sebuah kawasan di sekitar Minden, Pulau Pinang. Kubur Tok Jenaton juga masih ada di Minden ketika ini.
Penyimpangan fakta sejarah yang dimuatkan dalam buku-buku teks sudah barang tentu merupakan akibat daripada sejarah yang dinilai dan hanya dilihat dari perspektif bangsa yang menjajah itu sahaja iaitu British. Bukan sekadar menjajah tanahair, malah mereka juga turut cuba menjajah minda penduduknya. Mereka cuba memperlihatkan peranan mereka sebagai pencetus tamadun orang lain. bangsa lain bagi mereka boleh diperdayakan. Namun pada hakikatnya, sejak sebelum kedatangan kuasa penjajah itu, penduduk di Pulau Pinang (Tanjung Penaga) ini sudah mempunyai tamadun yang tersendiri, dan telah bertapak kukuh dengan bersendikan agama Islam.
Terdapat ramai orang Arab yang datang menetap di Tanjung Penaga. Malah di katakan Masjid Batu Uban telah wujud sekian lamanya serta berperanan penting menyebarkan syiar Islam. Batu Uban juga dikatakan sebagai Daerah Ulama di mana terdapat ramai ulama Islam yang tinggal dan menetap di situ.
Menariknya sejarah Pulau Pinang jika dikaji dengan teliti, berlandaskan fakta sebenar.

10 Prinsip Islam Hadhari

10 Prinsip Islam Hadhari dan Pengukuhan Hubungan Etnik

1. Keimanan dan Ketaqwaan kepada Ilahi dan Hubungan Etnik
Hubungan etnik yang utuh lagi jitu akan dapat dibina sekiranya ia dijalin berteraskan ajaran agama bersekali dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.. Islam sebagai Al-Din telah secara holistik mengintegrasikan hubungan kemanusiaan dan kemasyarakatan (termasuk komuniti dan hubungan etnik) dengan hubungan manusia-Allah, manusia-makhluk dan hubungan manusia-alam. Justeru, hubungan kemanusiaan dan sosial sudah terkandung dalam ajaran Islam yang mementingkan perpaduan, perdamaian, keharmonian dan keamanan tanpa mengira bangsa, ras, kaum dan etnik. Kesejahteraan hidup hanya akan dapat direalisasikan sekiranya manusia dan masyarakat berpandukan ajaran Allah s.w.t..
2. Kerajaan Adil dan Beramanah serta Hubungan Etnik
Dasar keadilan dan amanah kerajaan juga telah lama dilaksanakan dalam konteks memantap dan memperkukuhkan hubungan etnik. Kerajaan Malaysia dalam ruang yang ada sejak daripada selepas Peristiwa 13 Mei 1969 berusaha membentuk perpaduan dan keutuhan masyarakat berbilang kaum yang mempunyai identiti nasional dan tidak menghalang hak-hak bukan Islam dalam menjalani semua aktiviti kehidupan. Kepelbagaian budaya dan agama diterima sebagai satu entiti kekuatan bukannya melemahkan. Kerajaan juga sentiasa berwaspada dan berusaha mengelakkan ketegangan dan pergaduhan etnik walau apapun puncanya. Respons kerajaan kepada tuntutan etnik minoriti sentiasa adil dan saksama, maka kerana itulah ketegangan dan perbalahan antara etnik dapat diatasi dengan bijak dan saksama.
3. Rakyat Berjiwa Merdeka dan Hubungan Etnik

Kerajaan sedang berusaha untuk membentuk bangsa Malaysia menerusi berbagai usaha termasuklah pengukuhan konsep perpaduan nasional agar terhasil rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka iaitu yang menyumbang dan berbakti kepada negara serta menumpahkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara di samping bersatu padu, saling menghormati, tolong menolong dan berkongsi masa depan. Kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan ’Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian’ dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang kuat. Islam mewajibkan manusia Muslim sentiasa tolong menolong atas dasar kebaikan dan ketaqwaaan dan bukannya atas dasar perlakuan dosa, pencerobohan atau perseteruan.

4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan dan Hubungan Etnik
Kerajaan sentiasa menganjurkan rakyatnya agar sentiasa menguasai ilmu pengetahuan. Islam mewajibkan umatnya untuk mencari dan menuntut ilmu pengetahuan. Dalam konteks Malaysia, jalinan hubungan etnik akan menjadi lebih padu sekiranya masing-masing melihat signifikan hubungan etnik dalam konteks ilmu dan realiti, bukannya emosi, perasaan dan prasangka.
Tamadun India yang masyhur dengan falsafah dan matematik, tamadun Cina dengan ilmu hisab, perpuluhan dan aritmatik dan tamadun Islam yang menampilkan konsep angka dan meletakkan asas dalam matematik moden dan bidang astronomi cerapan telah bersama-sama menjayakan interaksi tamadun hasil daripada penguasaan ilmu pengetahuan. Maka kelompok etnik Cina, India dan Melayu dan lain-lain sepatutnya tidak mempunyai masalah memperkukuh hubungan etnik di Malaysia hasil daripada interaksi sains dan teknologi dan interaksi budaya tamadun masing-masing terdahulu. Penguasaan ilmu pengetahuan adalah faktor pembentukan dan kesinambungan kejayaan ketiga-tiga tamadun di atas. Ungkapan Arab, ”Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China” membuktikan dua aspek; pertama interaksi dan dialog tamadun, kedua; transmisi ilmu dan pengejaran ilmu pengetahuan.

5. Pembangunan ekonomi yang komprehensif dan seimbang dan Hubungan Etnik

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat harus dilihat juga signifikannya dari sudut hubungan etnik. Pencapaian DEB yang diharapkan iaitu 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam semua bidang dan peringkat ekonomi akan memobilasikan Bumiputera untuk bergerak maju dan berdaya saing seiring dengan bukan Bumiputera. Status sosial dan pendapatan Bumiputera diharapkan akan setara dengan bukan Bumiputera. Objektif penyusunan semula masyarakat yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik akan dapat direalisasikan. Sebab itu, DEB harus dilihat signifikannya daripada sudut hubungan etnik.
6. Kehidupan Berkualiti dan Hubungan Etnik

Hubungan etnik yang baik akan menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti. Berdasarkan kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia, kita dapati hubungan etnik boleh dikaitkan dengan banyak perkara dalam kehidupan kita. Indeks Kualiti Hidup Malaysia merangkumi 11 aspek iaitu:
1. Dunia pekerjaan
2. Pengangkutan dan komunikasi
3. Kehidupan berkeluarga
4. Keselamatan dan ketenteraman awam
5. Pendapatan dan pengagihannya
6. Kesihatan
7. Pendidikan
8. Perumahan
9. Alam sekitar
10. Penglibatan sosial
11. Budaya dan hiburan
Sukan ternyata boleh mewujudkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia sekaligus mempereratkan hubungan kaum dan integrasi nasional. Sudah ada langkah-langkah  menggunakan sukan sebagai alat untuk memupuk hubungan kaum yang erat. Orang Cina sudah ada yang bermain sepaktakraw yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu. Orang Melayu sudah bermain bola keranjang walaupun sebelum ini sukan ini didominasi oleh orang Cina. Kita perlu sukan yang boleh menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Badminton, hoki, bola sepak dan squash adalah di antara sukan yang boleh membangkitkan perasaan patriotisme rakyat.
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita

Islam telah lebih 1400 tahun yang lampau memperjuangkan konsep hubungan etnik dan hak-hak asasi manusia. Islam menjamin hak-hak bukan Islam dan warga dunia. Jaminan ini akan memperkukuhkan hubungan etnik di negara yang diperintah oleh orang Islam. Pengisytiharan Universal Islam Mengenai Hak-hak Asasi Manusia di Paris pada September 1981 antara lain mengiktiraf hak-hak manusia untuk hidup, hak kebebasan manusia, hak persamaan dan larangan diskriminasi terlarang, hak keadilan, hak perbicaraan yang saksama, hak mendapat perlindungan daripada penyalahgunaan kuasa, hak perlindungan daripada penyiksaan, hak perlindungan maruah dan reputasi, hak pelarian, hak-hak minoriti, hak dan obligasi untuk menyertai pengurusan hal ehwal awam, hak untuk menganut mana-mana agama dan berucap, hak amalan keagamaan, hak untuk berkumpul dan menubuhkan persatuan, hak melakukan aktiviti ekonomi, hak perlindungan hartabenda, status dan maruah pekerja, hak keselamatan sosial, hak berkeluarga dan yang berkaitan dengannya, hak wanita yang telah berkahwin, hak pendidikan, hak privasi dan hak bergerak dan menginap.
8. Keutuhan Budaya dan Moral Serta Hubungan Etnik

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersama-sama memerangi elemen negatif budaya dan pemikiran Barat yang bertentangan dengan nilai agama dan ketimuran. Budaya dan moral bangsa Malaysia mestilah dipertahankan demi keutuhan budaya kebangsaan dan menghalang ianya daripada dicemari oleh budaya yang merosakkan akhlak dan moral serta budi bahasa rakyat Malaysia. Perayaan-perayaan kaum di Malaysia boleh menjadi satu mekanisme memupuk semangat muhibah di kalangan masyarakat berbilang kaum. Bagi orang Islam, amalan kunjung mengunjung  ke rumah kaum lain ketika perayaan tertentu bukanlah bermakna merestui sistem kepercayaan agama lain, tetapi lebih sebagai satu amalan mengeratkan perasaan saling menghormati, persefahaman dan persahabatan dengan kawan-kawan lain walaupun yang bukan seagama dengan mereka. Ini patut dijadikan budaya hidup kita.

9. Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Serta Hubungan Etnik

Rakyat Malaysia pelbagai kaum mestilah sama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar demi kepentingan bersama dan untuk generasi akan datang. Alam sekitar dan persekitaran yang kondusif bersekali denan penjagaan kesihatan yang sempurna akan memastikan masyarakat yang sihat, kuat dan sejahtera. Rakyat Malaysia mestilah memperjuangkan isu-isu alam sekitar mengikut saluran yang betul dan peraturan dan benar-benar ikhlas demi kepentingan negara, bukannya kepentingan peribadi atau kelompok berkepentingan tersendiri.

10. Kekuatan Pertahanan dan Hubungan Etnik

Program Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) sudah menunjukkan tanda-tanda penumpuan dan perkembangan integrasi nasional, perpaduan kaum dan semangat patriotisme. Generasi muda perlu disedarkan tentang keperluan mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh. Mungkin sudah ada usaha sedemikian di peringkat pendidikan rendah yang lebih bersifat kekuatan jatidiri.
Penyertaan kelompok etnik bukan Melayu dalam pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia masih ditahap yang rendah dan perlu dipertingkatkan. Penyertaan berbagai kelompok etnik dalam Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan pasukan Pertahanan Awam boleh dibanggakan. Ini juga boleh memantapkan perpaduan kaum. ”Bersatu tkita teguh, bercerai kita roboh” adalah pepatah yang melambangkan perpaduan dan kerjasama. Jika dikaitkan dengan kekuatan pertahanan, maka asas kepada perfahaman yang utuh ialah perpaduan yang jitu.
Iklan TV3 ”Ikan di laut, asam di darat” membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum  boleh menjalin hubungan baik dan bersatu padu. Media massa adalah mekanisme paling berkesan untuk memupuk perasaan muhibah dan hubungan etnik yang positif. Sebab itu media massa perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk memupuk integrasi nasional dan perpaduan kaum bukannya perpecahan dan polarisasi.